Arahan kerja dari rumah: Kenyataan menteri tidak jelas – MTUC

0
2

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pekerja bahagian pengurusan serta pengawasan diarah bekerja dari rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai tidak jelas.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kerajaan perlu memperincikan golongan pekerja dan kakitangan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Saya sendiri keliru dengan kenyataan itu dan menteri sepatutnya membuat perincian kerana ia boleh membawa maksud kepada peringkat pengurusan dan bukan pekerja yang bekerja di bahagian pengurusan.

“Kenapa peringkat pengurusan perlu bekerja dari rumah sedangkan mereka ada ruang pejabat sendiri, malah pemandu peribadi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Abdul Halim berkata, kerajaan seharusnya meminda akta sedia ada membabitkan sektor pekerjaan dengan memasukkan terma khas membabitkan bekerja dari rumah.

“Amalan kerja dari rumah merupakan satu normal baharu yang mesti diamalkan dalam sektor pekerjaan kerana ia penting untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin menular, lebih-lebih lagi di zon merah.

“Sudah tiba masanya kita menjadikan bekerja dari rumah ini sebagai satu profesion khusus terutama ketika negara masih bergelut dengan Covid-19.

“Dalam hal ini, majikan perlu bersikap terbuka dan mempercayai pekerja mereka yang bekerja dari rumah, manakala pekerja pula perlu berdisiplin, perlu melaksanakan tanggungjawab serta tugas seperti yang termaktub dalam terma pekerjaan seperti yang dilakukan di pejabat sebelum ini,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri memaklumlan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan dalam di kawasan penguatkuasaan PKPB diarah bekerja di rumah berkuat kuasa esok.

Arahan terbaru itu akan membabitkan satu juta pekerja di kedua-dua sektor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah. -Malaysiapost