SPRM ambil dokumen pembelian Vellfire milik SADA

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil dokumen berkaitan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada serbuan atau tangkapan dibuat oleh agensi itu setakat ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata pihaknya turut berjumpa pihak pengurusan syarikat utiliti berkenaan mendapatkan maklumat berkaitan pembelian kenderaan terbabit.

“Kalau ada yang mendakwa kami lakukan serbuan, itu tidak betul. Pegawai kami ke sana hanya untuk melakukan penyelidikan awal selepas isu itu tular di media sosial.

“Segalanya masih di peringkat awal dan setakat ini tiada apa yang boleh saya maklumkan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Sebelum ini, SADA didakwa melakukan pembelian Toyota Vellfire berharga RM345,000 bagi kegunaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan pada Khamis lalu menafikan Muhammad Sanusi terbabit dalam pembelian kenderaan bernombor pendaftaran KEP5000 berikutan keputusan pembeliannya dibuat pengurusan tertingginya sendiri.

Shaharom Nizam berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa dokumen berkaitan pembelian kenderaan terbabit untuk diteliti.

“Kita hanya jumpa pihak pengurusan untuk bertanya beberapa perkara, saya harap tiada pihak buat sebarang spekulasi.

“Kunjungan SPRM dibuat atas inisiatif sendiri selepas isu ini tular di media sosial. Tiada pihak tampil membuat laporan,” katanya. – Malaysiapost