Jebat sedia beri kerjasama

0
2

PELAKON Sharnaaz Ahmad bersedia beri kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama sebenar, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 35, memberitahu, dia masih belum dihubungi mana-mana pihak termasuk SPRM.

“Setakat ini, belum ada sesiapa dari SPRM yang menghubungi saya. Lagipun, kalau mereka hendak panggil, ia tidak akan beritahu lebih awal.

“Tahu-tahu sahaja sudah berada di sana. Bagaimanapun, sama ada dipanggil atau tidak, saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sebelum ini, nama Sharnaaz antara selebriti tanah air yang dikaitkan dengan siasatan SPRM membabitkan kes pengubahan wang haram atau ‘cuci wang’ oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian.

Sharnaaz mengaku ketika isu itu dibangkitkan, dia pernah menghubungi SPRM untuk memberi keterangan.

“Cuma saya tidak boleh hendak kongsi maklum balas SPRM berhubung penjelasan saya itu kerana ia sulit dan peribadi,” katanya.

Ditanya apakah isu itu memberi impak negatif kepada perniagaan kedai minuman yang diusahakannya, pelakon filem Jebat ini berkata, kesannya lebih kepada jenama.

“Alhamdulillah, perniagaan saya seperti biasa dan tiada apa-apa yang berlaku. Cuma daripada segi jenama, ia agak terjejas. Bagi saya, kita tak perlu takut kalau kita tidak salah. Kita hanya berada pada masa dan tempat yang silap.

“Hendak kata buat salah, tiada siapapun yang buat salah.

“Kita tak boleh menghakimi orang. Walaupun dia pakai baju warna oren, selagi mahkamah tak jatuhkan hukum, kita tak boleh kata mereka itu bersalah. Mereka hanya dipanggil untuk disoal siasat sahaja,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua artis terkenal yang terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan menjadi antara beberapa artis dijangka dipanggil SPRM untuk memberi keterangan selepas tiada selebriti tampil secara sukarela. – Malaysiapost