PULUHAN burung ciak rumah ditemui mati, dipercayai akibat diracun pesawah, berhampiran sebuah kawasan perumahan di Ulu Melaka, dekat Langkawi sejak Ahad lalu.
Memetik laporan Bernama, penduduk, Shahrizan Saad, 39, berkata bangkai burung itu ditemui di atas pokok, bumbung dan pagar rumah di kawasan tersebut dan cecair kuning keluar dari mulut.
“Saya mula nampak bangkai burung di sekitar kawasan ini kira-kira jam 6 petang, anak saya berjaya kumpul 31 bangkai burung pada hari tersebut.
“Tengah hari semalam, saya temui lagi bangkai burung, setakat semalam sudah 80 bangkai ditemukan rata-rata burung ciak rumah termasuk seekor burung tekukur.
“Semalam juga, saya jumpa seorang pesawah dia mengaku ada letak racun ‘Furadan’ dalam benih padi kerana sakit hati padi miliknya dimakan burung,” katanya kepada pemberita di Taman Wawasan Indah, Langkawi hari ini.
Shahrizan berkata berkata dia percaya banyak lagi bangkai akan ditemui kerana burung akan makan racun di kawasan sawah sebelum terbang ke lokasi lain.
“Sejak lima tahun tinggal di kawasan perumahan yang dikelilingi bendang ini, pertama kali saya lihat banyak bangkai burung bergelimpang di sini. Memang rasa sedih melihat banyak bangkai burung mati akibat diracun,” katanya.
Pegawai Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi berada di lokasi tersebut membuat tinjauan serta mengambil bangkai burung tersebut selepas mendapat aduan awam.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hidupan Liar Pejabat Perhilitan Daerah Langkawi Mohd Nazri Amran berkata siasatan mendapati burung ciak rumah dan tekukur tidak berada dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – Malaysiapost

