TINDAKAN Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penggunaan dron untuk memantau pencemaran sungai di negeri itu menerima ‘kecaman’ hebat warganet.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan dron untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat.
“Dron ini juga berupaya mengumpul sampel air dan mengesan wajah pencemar sumber air pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran itu, Amirudin turut memuat naik poster lakaran dron dengan ayat ‘Dron Bantu Cegah Aktiviti Pencemaran Sumber Air’.
Bagaimanapun, hantaran itu menerima kritikan hebat warganet yang menyifatkan langkah kerajaan negeri itu sudah terlambat.
Selain itu, mereka turut menyifatkannya sebagai tidak ‘membantu’ di saat penduduk Selangor amat tertekan dengan masalah bekalan air.
Azlan Iskandar berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu tidak selari dengan apa yang rakyat Selangor mahukan.
“Lain yang rakyat mintak lain yang dibuat nya, tu betul dato MB, rakyat nak sekarang apa mekanisma untuk bantu masalah air kepada penduduk terjejas.
“Sebiji tanker pun tak masuk hantar bekalan ni MB, adoiiiiyaiiiii….serupa langkah 30 tahun nk bendung masalah air, jarang tak kelakor,” katanya.
Linda Mohamad Sahin berkata, sekiranya selepas pembelian dron itu, kerajaan negeri masih gagal menyelesaikan isu gangguan bekalan air adalah wajar untuk Menteri Besar letak jawatan.
“Dron juta ringgek (RM). Dah saman dah kilang yang menyebabkan ‘water pollution’ ari tu. Berapa RM saman kilang tu.
Silalah beli MBku. Kalau masih berlaku ‘water pollution’ . Sila sedia untuk LEPASkan jawatan MB,” katanya.
Vijay Munisamy berkata, kerajaan negeri sepatutnya tutup sahaja semua kilang haram yang didirikan berhampiran punca air.
“PBT kena main peranan aktif memantau semua pencemaran. Bila kita ‘report’ tentang kedai buang sisa air restoran dan ‘car wash’ ke dalam, tiada sebarang tindakan,” katanya.
Aimall Berkat berkata, kerajaan negeri perlu perjelaskan semua kos membabitkan penggunaan dron berkenaan.
“Ok YB… Nanti YB tunjuk macam mana drone ni berfungsi. Kos-kos pengurusan dan kos sampingan yang lain. Baru la nampak berbaloi ke tidak dengan harga
RM2 juta tu,” katanya.
Semalam, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan akan menggunakan dron teknologi tinggi dengan peruntukan RM2 juta bagi menangani isu pencemaran. – Malaysiapost

