Kena ‘smack down’ selepas tegur suami

0
1

SEORANG suri rumah cedera selepas menjadi mangsa ‘smack down’ suaminya dipercayai kerana perselisihan faham dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Mesra, Mak Mandin dekat Butterworth, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 38 tahun bukan sahaja ditumbuk pada bahagian badan dan kepala, malah ditolak sehingga jatuh serta ditendang dan dipijak di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pergaduhan tercetus selepas mangsa menegur suaminya yang berusia 40 tahun kerana membawa anak perempuan mereka berusia enam tahun keluar minum minuman keras.

“Berang dengan teguran itu, suspek mencekik mangsa dan mengugut mahu membunuhnya,” katanya hari ini.

Noorzainy berkata, anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut ditampar sebelum remaja berkenaan meminta pertolongan jiran.

Katanya, susulan itu suspek ditahan semalam selepas polis menerima laporan dan siasatan mendapati lelaki berkenaan beberapa kali membawa kanak-kanak itu menemaninya untuk minum minuman keras dan kerap memukul isteri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – Malaysiapost