Covid-19: Tak semesti seorang dijangkiti, semua ahli keluarga pun positif

0
1

Nilam Oshman

RISIKO jangkitan virus Covid-19 bergantung kepada ketahanan badan dan antibodi seseorang individu, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Katanya, risiko jangkitan Covid-19 juga bergantung sama ada virus itu banyak atau sedikit di dalam badan seseorang pesakit itu.

“Jika banyak (virus) itu (dalam badan), maka cepatlah berjangkit, sekiranya sikit, ia tak mudah berjangkit dan juga mungkin ahli keluarga (pesakit) yang lain ada ketahanan badan (antibodi) yang baik dan kuat (tidak mudah berjangkit).

“Jadi, bukan 100 peratus seseorang itu dapat jangkitan Covid-19, pasal itulah kita tengok seorang akan berjangkit pada dua atau tiga orang, tak semestinya ramai-ramai,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Beliau ditanya mengenai laporan seseorang yang dijangkiti Covid-19, namun ahli keluarga lain yang tinggal bersama disahkan negatif dan bagaimana ia merebak.

Semalam, Malaysiapost melaporkan seorang wanita disahkan positif Covid-19 di Tawau, namun suami, anak-anak dan ibu bapa yang tinggal serumah tidak dijangkiti virus tersebut.

Wanita tersebut yang disahkan positif pada Sabtu lalu, dilaporkan hanya duduk di rumah hampir tiga minggu dan hanya suami keluar bekerja serta membeli barang keperluan.

Sementara itu, Dr Zainal Ariffin berkata, usaha melandaikan lengkung kes positif Covid-19 di negara ini ketika ini mungkin mengambil masa beberapa bulan sehingga awal tahun depan.

“Lambat lagi… sebulan atau lebih, kita lihat keadaan sekarang dengan kes positif Covid-19 mencecah 865 kes, nak landai itu kes perlu turun kepada dua digit dan bawah 10.

“Justeru, mengambil masa, saya ingat dalam sebulan lebih, itu paling cepat… kalau tidak tahun depan… awal tahun,” katanya. – Malaysiapost