Gagal selesaikan isu air, MB Selangor didesak untuk letak jawatan

0
2

Nurul Huda Abhar

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor menggesa Menteri Besar,
Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu gangguan bekalan air di negeri itu.

Pengerusinya, V Selvam berkata selain Amirudin, Ketua Eksekutif Air Selangor juga perlu bertanggungjawab dengan melakukan perkara sama.

“Krisis air di Selangor sudah tiada kesudahannya dan masalah gangguan air sudah semakin kritikal.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor sudah tidak mampu menangani pengurusan air di Selangor.

“Justeru, PSM Selangor menggesa Menteri Besar dan Ketua Eksekutif Air Selangor untuk mengambil tanggungjawab
sepenuhnya dengan meletakkan jawatan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selvam berkata, belum pun reda isu masalah paip pecah di Jalan Bukit Kuda, Klang beberapa hari lalu, kini isu pencemaran air di Sungai Selangor berulang.

Justeru, beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan pihak berwajib bagi memastikan masalah gangguan air di Selangor tidak menjadi lebih parah dan membebankan rakyat.

Katanya, mekanisme pemantauan yang mantap di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu dilaksanakan dengan segera.

“Kerajaan Negeri Selangor perlu melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

“Ini dapat menyelesaikan masalah keperluan air tempatan dan gangguan bekalan air dapat diminimakan dan tidak akan menjejaskan ramai pengguna.

“Bagi masalah paip pecah, PSM menggesa Kerajaan Selangor untuk melaksanakan program penyelengaraan paip secara berkala dan berjadual untuk mengelakkan masalah ini berulang.

“Air adalah kemudahan asas, maka adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi tujuan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Air Selangor perlu memantau dan meneliti semua loji rawatan atau loji bekalan air untuk mengenalpasti masalah seperti paip dan peralatan yang lama, bocor dan yang memerlukan penggantian serta penyelenggaraan yang baik.

Selain itu, katanya, sistem ‘back-up’ seperti saluran paip alternatif perlu disediakan dan hanya digunakan apabila saluran paip utama mengalami masalah.

“Air Selangor perlu meneliti dan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) pengurusan air semasa krisis yang sedia ada untuk mengelakkan masalah ini di masa hadapan.

“Kakitangan yang terlibat dalam tugasan ini haruslah dilatih agar dapat mengendalikan masalah dengan cekap dan pantas,” katanya.

Sementara itu, penelitian berkaitan polisi dan proses perolehan (procurement) Air Selangor termasuk pembekal peralatan untuk memastikan bahan atau peralatan adalah berkualiti tinggi.

Semalam, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. -Malaysiapost