Covid-19: 49 kakitangan Proton positif

0
1

SERAMAI 49 pekerja Proton disahkan positif Covid-19 sejak kes pertama membabitkan kakitangan syarikat itu dilaporkan pada 14 Oktober lalu.

Proton dalam kenyataan memaklumkan, semua pekerja yang terbabit adalah daripada bahagian kejuruteraan.

Katanya, semua pekerja yang tidak perlu hadir secara fizikal ke kilang Proton Shah Alam telah diarahkan bekerja dari rumah.

“Pihak syarikat akan terus mengikuti langkah-langkah pembasmian yang disyorkan sambil mengambil tindakan lebih ketat untuk mengurangkan penularan wabak ini.

“Aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan dan pasukan khas Covid-19 akan memantau situasi terkini secara terperinci,” katanya.

Proton menegaskan, mereka akan terus mengikuti semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan dengan ketat.

Katanya, ia telah diamalkan sejak wabak tersebut menular di dalam negeri.

“Semua pekerja yang berhadapan dengan pelanggan perlu mengikuti langkah keselamatan dan Pusat Servis Kecemerlangan (COSE) serta bilik pameran Crystal melakukan pembasmian kuman pada setiap jam.

“Proton juga bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang telah memberikan panduan kepada syarikat berkaitan dengan semua proses dan mereka juga berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil buat masa ini.

“Keselamatan semua pekerja Proton, para pelanggan dan rakyat Malaysia akan sentiasa kekal sebagai keutamaan kami,” katanya. – Malaysiapost