Aiman Hanif
TULAR satu artikel di media sosial yang mendakwa bahawa Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) di salah sebuah negeri telah bertindak mencabul seorang pekerja hotel.
Berdasarkan maklumat yang diterima Malaysiapost, kejadian itu dikatakan berlaku pada awal bulan ini di sebuah hotel terkemuka.
Speaker DUN berkenaan dikatakan menolak wanita berkenaan ke dalam bilik dan bertindak memeluk serta memegang perut dan payudara wanita berkenaan.
“Wanita tersebut telah membuat laporan kepada pihak pengurusan hotel berhubung kejadian itu.
“Pihak hotel kemudiannya bertanyakan Speaker berkenaan dan beliau mengakui serta memohon maaf berhubung perkara itu.
“Kemudiannya, Speaker yang bergelar Datuk itu menghantar dua ‘utusannya’ untuk berunding dengan wanita berkenaan bagi menyelesaikan itu terbabit,” kata seorang sumber dan maklumat yang diterima.
Katanya lagi, pekerja wanita berkenaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk menyelesaikan isu berkenaan secara rundingan ataupun membuat laporan polis.
Malaysiapost telah menghubungi beberapa orang pemimpin politik yang mengenali Speaker berkenaan untuk mendapatkan kesahihan berita.
Bagaimanapun pemimpin politik berkenaan enggan mengulas lanjut kerana tidak mengetahui maklumat mengenainya.
Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan respon Speaker berkenaan berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.- Malaysiapost

