Covid-19: Sabah perlu bantuan dari segi sistem kesihatan – Anwar

0
3
anwar ibrahim

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan dukungan politik dan kepimpinan yang jelas bagi mengimbangi sistem kesihatan di Sabah yang kekurangan dana, staf dan sumber daya akibat daripada wabak Covid-19.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kementerian lain diperlukan bagi menggerakkan pasukan dan kelengkapan perubatan disamping mempertingkatkan aspek logistik bagi meluaskan lagi bantuan di Sabah.

“Para pakar juga telah meramalkan bahawa kita akan menyaksikan kadar jangkitan yang akan terus meningkat di Sabah tatkala virus tersebut terus merebak di kalangan warga.

“Mereka juga telah mengesyorkan bahawa pengujian secara besar-besaran (massive testing) sebagai langkah yang ampuh dalam mengesan dan memisahkan mereka yang telah dijangkiti sebelum ia terus merebak.

“Setelah lapan bulan kita mendepani wabak ini, saya fikir kita sepatutnya telah mampu dan punya keupayaan untuk menjalankan pengujian besar-besaran.

“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah ianya secara pengujian atau strategi yang lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Anwar menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat Sabah yang terkesan

“Ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup,” katanya.

Anwar berkata, memandangkan hampir seluruh Sabah kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau mengulangi gesaan pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, beliau juga menekan agar segala data mengenai kes, pengujian dan kadar kematian diberi secara terbuka kepada pakar dan pegawai kesihatan yang bekerjasama dengan pemerintah dalam mengekang wabak ini.

Beliau berkata, kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara dari memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada.

“Dasar dan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutamanya dalam suasana pandemik saat ini,” katanya. -Malaysiapost