PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pada jam 8 pagi esok.
Syarikat itu menjelaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah memulakan operasi rawatan air pada jam 6 petang tadi.
“Keempat-empa loji ini akan memaksimakan pengeluaran dan memenuhi paip-paip utama dan kolam terminal.
“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pada jam 8 pagi esok,” kata syarikat itu dalam kenyataan, hari ini.
Air Selangor berkata, pihaknya menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.
“Jadual pelan pemulihan dibahagikan kepada tiga kumpulan utama mengikut wilayah,” katanya.

Beliau berkata, jadual pelan pemulihan bekalan air adalah mengikut kawasan.
“Air Selangor memohon kerjasama para pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air,” katanya.
Setakat ini, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 91 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis yang terjejas.
“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui 21 pili awam, menempatkan 34 tangki statik di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan semasa tempoh pemulihan bekalan air ini.
“Pengguna boleh merujuk senarai pili-pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com dan orang ramai dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, di pili-pili awam dan PKS,” katanya.
Air Selangor akan memaklumkan status pelan pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com. -Malaysiapost

