Fitri Nizam
SEBANYAK 856 kes positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini dengan lebih separuh daripada jumlah itu iaitu 74.3 peratus kes dikesan di Sabah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 858 kes adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes.
“Sebanyak 183 kes adalah daripada kluster sedia ada, 343 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 manakala 117 lagi daripada lain-lain saringan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, Selangor pula mencatatkan sebanyak 101 kes dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Hentian.
“Selain itu, jumlah kes positif Covid-19 turut dikesan di Labuan (34), Pulau Pinang (26), Perak (16), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Kedah (3), Putrajaya (3), Johor (2), Pahang (1) dan Terengganu (1),” katanya.
Beliau berkata, terdapat dua kluster baharu dikesan hari ini iaitu di Selangor dan Melaka iaitu Kluster Hentian (1 kes) serta Kluster Bukit (11 kes).
Selain itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kematian hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 adalah 190 individu.
“Ketiga-tiga kes kematian berkenaan dicatatkan di Sabah iaitu dua lelaki dan seorang wanita,” katanya.
Sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost

