
Nurul Huda Abhar
RAKYAT perlu menjadi hakim yang adil dalam membuat pertimbangan dan jangan sesekali membiarkan diri dipengaruhi agenda sesetengah pihak.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata penyebaran maklumat khususnya media yang cenderung pada sebelah pihak sahaja hanya akan merumitkan keadaan politik negara sekarang.
“Media upahan yang berniaga untuk mendapat habuan lumayan daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan demi mengisi perut, sehingga menggunakan konsep matlamat menghalalkan segala cara.
“Ikutilah senario politik yang berlaku dengan teliti dan berhemat, supaya berlaku adil khususnya terhadap diri sendiri yang dihukum kerana kesilapan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menangani isu Covid-19 dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Namun begitu, katanya, secara tiba-tiba didominasi isu pembubaran Kerajaan Negeri Sabah dibangkitkan sehingga diwajibkan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kemudian rakyat digemparkan dengan “surat cinta” untuk menjadi Perdana Menteri yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong secara tidak lengkap tanpa senarai nama yang menyokong dan mendukung,” katanya.
Beliau berkata, seterusnya usul pula dihantar bagi mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang sedang melaksanakan tugas menghadapi Covid-19 yang menimpa rakyat dan seluruh dunia.
“Saya yang bimbang dengan apa yang berlaku. Alhamdulillah masih mengenali watak mereka yang terlibat dengan taktik ‘melempar batu sembunyi tangan’ sehingga menimbulkan isu yang berlaku hari ini.
“Saya mengenali mereka yang menulis “surat cinta” yang membara dan membaca wajah sebenar media upahan yang memainkan peranan melariskannya bagi mengelirukan rakyat supaya sentiasa tertipu,” katanya. -Malaysiapost
