VIRUS Covid-19 mampu hidup sehingga sembilan jam di permukaan kulit manusia, sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti, menurut kajian saintis di Jepun.
Memetik laporan AFP, penemuan itu mengukuhkan lagi keperluan membasuh tangan lebih kerap bagi mencegah penularan pandemik tersebut.
Kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Klinikal itu mendedahkan patogen penyebab selsema hanya mampu bertahan di kulit manusia hampir dua jam sebagai perbandingan dengan Covid-19.
“Daya tahan virus Covid-19 adalah selama sembilan jam pada kulit manusia, berupaya meningkatkan risiko pemindahan dari kontak jika dibandingkan virus Influenza A, sekali gus akan meningkatkan penyebaran pandemik itu,” kata laporan itu.
Pasukan penyelidik Jepun itu membuat ujian pada kulit, diambil dari spesimen dibedah siasat selepas sehari meninggal dunia.
Mereka dapati virus Covid-19 dan virus selsema menjadi tidak aktif dalam tempoh 15 saat apabila diletakkan etanol yang digunakan pada cecair pembasmi kuman.
“Lebih lama virus Covid-19 berada di kulit, lebih tinggi risiko pemindahan kontak, justeru penggunaan cecair pembasmi kuman dapat mengurangkan risiko jangkitan.”
Penyelidikan itu ssterusnya menyokong nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggalakkan tangan dibasuh lebih kerap bagi mengelak jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

