Sarawak tetap adakan pilihan raya – Abang Johari

0
1

SARAWAK akan tetap meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 meskipun sedar negara kini berdepan pandemik Covid-19, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, PRN ke-12 tetap akan diadakan melihat kepada kebolehan Sarawak mengendalikan pandemik itu secara efektif ketika ini.

“(Namun) sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh meneruskan mandat, saya tidak kisah untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri,” katanya pada Konvensyen Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Kuching, hari ini.

Menurut Abang Johari, perkara tersebut merujuk kepada parti-parti pembangkang yang menyuarakan bahawa PRN tidak harus diadakan ketika negara sedang berdepan masa sukar ini.

Katanya, urusan pilihan raya adalah urusan dalaman dan tidak melibatkan campur tangan ‘orang luar’.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak itu tidak memberi sebarang petunjuk berkenaan tarikh sebenar pilihan raya akan datang.

Sementara itu, katanya, mandat bagi kerajaan negeri itu akan berakhir pada Jun 2021 dan apabila mencapai tempoh matang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara automatik tetap akan bubar.

Justeru ujarnya, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya. – Malaysiapost