Surat didakwa diutus Zahid kepada Agong tular di media sosial

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

DI tengah-tengah dakwaan sebahagian Ahli Parlimen Umno menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, tular surat kononnya daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Surat tular berkenaan dikatakan bagi menyatakan Ahli Parlimen Umno memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden PKR itu untuk dilantik Perdana Menteri ke-9.

Surat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya itu turut disaksikan dan disokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kandungan surat yang diserahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 11 Oktober itu juga memaklumkan kepada baginda bahawa Ahmad Zahid dan Najib menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Surat itu juga mendakwa, pendirian mereka itu adalah sehingga tamat sidang Parlimen ke-14 untuk mengelak Pilihan Raya Umum sewaktu penyebaran Covid-19 dan kegawatan ekonomi. 

Selain kekecewaan Umno dengan Bersatu dan keperluan nyata untuk perubahan kepimpinan negara demi rakyat dan negara. 

Berdasarkan kandungan surat tersebut, selaku Presiden Umno sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk memaklumkan kepada YDPA bahawa Muhyiddin sudah kehilangan majoriti

Sementara itu, seorang pegawai Ahmad Zahid ketika dihubungi Malaysiapost menafikan kesahihan surat berkenaan.

“Tak betul… Presiden Umno tidak pernah keluarkan surat berkenaan. Ia hanya propaganda dan kerja tidak bertanggujawab pihak tertentu ketika negara berdepan kemelut politik,” katanya. 

Sementara itu, ‘group’ Telegram Ahmad Zahid Hamidi menyatakan surat yang tular itu palsu dan turut berkongsi gambar surat tersebut yang ditampal tulisan PALSU.

Surat tular yang dilaporkan palsu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pimpinan parti itu berpegang teguh kepada keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

“Saya selaku SU (Setiausaha) Agung Umno, juga Presiden Umno tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat MKT Umno sebelum ini iaitu kukuhkan Barisan Nasional, mantapkan Muafakat Nasional (MN).

“Tiada DAP dan tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, pada masa sama tular juga dakwaan perubahan Kabinet dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan Ahmad Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Senarai nama barisan Kabinet yang didakwa embargo sehingga 19 Oktober itu juga turut menyenaraikan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, nama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan turut dikaitkan sebagai Menteri Kewangan dengan lantikan Senator.

Sebahagian besar Ahli Parlimen Umno berada dalam barisan Kabinet PN yang didakwa itu dengan beberapa nama besar seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohamaed Nazri Aziz kembali ke dalam Kabinet.

Hanya nama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sahaja terkeluar dari senarai berkenaan. – Malaysiapost