Nurul Huda Abhar
PESAWAT Airbus 400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berlepas ke Tawau, Sabah membawa aset kelengkapan dan pasukan Hospital Medan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu giat dibangunkan di Kompleks Sukan Tawau, kira-kira 10 hingga 12 minit dari Hospital Tawau.
“Hospital Medan ini akan digunakan untuk merawat pesakit bukan Covid-19 khususnya untuk perkhidmatan perubatan am, pembedahan am, obstetrics & gynaecology, orthopaedic dan paediatric.
“Ini bagi membolehkan Hospital Tawau memberi tumpuan merawat pesakit Covid-19. Semoga dipermudahkan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan pusat rawatan Covid-19 di Penjara Pokok Sena, Kedah juga sedang dalam persediaan.
Menurutnya, antara agensi yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ATM, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (Hazmat), Jabatan Kerja Raya, syarikat konsesi Edgenta, Celcom, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Air Darul Aman (Sada).
“Seramai dua pegawai ATM, dan dua pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memantau kerja-kerja persiapan ini mengikut pelan yang telah dirangka oleh ATM-KKM.
“Seramai empat pegawai dan 20 lain-Lain Pangkat (LLP) daripada B Coy 2 Bn Ubat telah diaturgerak bagi membantu kerja persiapan pusat rawatan ini,” ujarnya. – Malaysiapost

