Ahmad Maslan nafi minta PM gugur empat menteri Umno

0
2

Aiman Hanif

SETIAUSAHA Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan laporan kononnya parti itu mahu empat wakil rakyat Umno tanpa jawatan dalam parti yang dilantik menjadi menteri digugurkan.

Sebaliknya kata Ahmad, beliau tidak pernah membangkitkan perkara itu dalam mana-mana rundingan.

Ia sebagai menjawab laporan sebuah portal sebelum ini yang mendakwa Umno mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan beberapa pemimpinnya dari Kabinet yang tidak mempunyai jawatan utama dalam parti.

Portal itu yang memetik sumber berkata, ia adalah sebahagian daripada beberapa permintaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Umno itu dan juga bendahari BN Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Perdana Menteri.

“Tiada perincian rundingan yang saya ada sebut dalam mana-mana kenyataan,” kata Ahmad kepada -Malaysiapost, hari ini.

Jawapan sama juga turut diberikan Ahmad apabila ditanya sama ada Umno meletakkan syarat bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diminta parti itu harus mengikut hiraki parti.

Semalam Malaysiapost melaporkan yang Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Umno.

Katanya, Umno juga harus diberi jawatan – jawatan yang lebih strategik dalam Kabinet Muhyiddin.

Jelasnya, perkara itu perlu memandangkan Umno adalah penyumbang kerusi terbanyak dalam kerajaan PN yang dibentuk bersama PAS dan GPS itu

Selasa lalu, mesyuarat Biro Politik Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN kecuali permintaan mereka dipenuhi.

Umno akan mengemukakan perjanjian baharu secara bertulis kepada PN.- Malaysiapost