Fitri Nizam
KERAJAAN bersetuju menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah bermula 18 hingga 31 Oktober.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata keputusan itu dibuat berikutan sebanyak 25 kes positif Covid-19 dikesan di kampung berkenaan membabitkan lima keluarga.
Beliau berkata, setakat ini lebih 200 individu sudah pun disaring namun 100 daripadanya masih menunggu keputusan saringan.
“Pelaksanaan PKPB di Kampung Padang Che Mas ini membabitkan 1,150 penduduk iaitu 151 buah rumah.
“Semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya tiada pergerakan keluar masuk sama ada membabitkan penduduk dan orang luar,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, antara lain, hanya dua orang saja daripada setiap rumah dibenarkan untuk keluar membeli barangan keperluan.
Selain itu, sekolah dan pusat pengajian termasuk pengajian pondok diarahkan tutup sepanjang PKPB berkuatkuasa.
“Akitiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, majlis adalah tidak dibenarkan,” katanya, namun beliau meminta penduduk untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan SOP yang dikuatkuasakan di lokasi terbabit. -Malaysiapost

