Nurul Huda Abhar
PENDUDUK yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan mencukupi dan berada dalam kawalan kementerian.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata orang ramai diminta menghentikan pembelian panik dan hanya keluar rumah sekiranya perlu.
“Semua perniagaan dan premis dibuka, termasuk perniagaan makanan dan pasar tani. Malah, pasar raya juga dibuka setiap hari.
“Tidak perlu panik, semua dibuka seperti biasa. Yang tidak dibuka hanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan sahaja. Jadi orang ramai bebas membeli keperluan harian,” katanya ketika sidang media, hari ini.
Tambah Ismail Sabri, Kementerian Pertanian dalam laporan juga telah membuat pemantauan dan memberi jaminan bekalan adalah mencukupi.
“Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang, tidak perlu panik kerana barangan makanan mencukupi dan mudah diperolehi,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran foto di mana orang ramai bertindak bepusu-pusu ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan harian.
Tindakan itu susulan pengumuman perlaksanaan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. -Malaysiapost

