Nurul Huda Abhar
PERMOHONAN kebenaran pergerakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh dibuat di semua balai polis berdekatan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai juga boleh memuat naik borang permohonan permit pergerakan melalui laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Borang yang selesai diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan untuk mendapatkan tandatangan ketua balai. Borang yang telah ditandatangan dan dicop boleh ditunjukkan sewaktu melalui sekatan jalan raya (SJR).
“Kerajaan juga ingin mengingatkan kepada semua yang mempunyai urusan serta perlu bergerak ke destinasi yang terletak di kawasan PKPB agar tidak berpusu-pusu ke balai polis.
“Muat turun borang, isikan maklumat yang diminta dengan tepat dan hanya perlu hadir ke balai polis untuk tujuan pengesahan sahaja,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sebarang permohonan pergerakan berbentuk sosial adalah tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB.
“Yang ada keperluan peribadi, keperluan sosial tidak dibenarkan. Kurangkan pergerakan. Itu tujuan PKPB dijalanakan, kita mahu putuskan rantaian Covid-19,” katanya. -Malaysiapost

