DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu Khalid Samad mendedahkan nama 30 Ahli Parlimen Umno yang didakwa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, dakwaan itu sekali gus membuktikan Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan tidak sabar mahu menjadi Menteri semula.
“Kalau betul 30 orang MP (Ahli Parlimen) Umno sokong Anwar, dedahkan nama-nama mereka.
“Dengan Yang di-Pertuan Agong pun Anwar Ibrahim boleh bersandiwara dengan hanya membawa ‘numbers’ bukan ‘names’ (senarai nama), apatah lagi rakyat,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sebagaimana yang ditegaskan keputusan Majlis Tertinggi Umno sehingga hari ini tidak pernah berubah iaitu tidak sesekali menyokong Anwar dan DAP.
“No Anwar, No DAP! Apakah kalian mahu Kerajaan PH kembali berkuasa?,” katanya.
Terdahulu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah, mendakwa Anwar mempunyai jumlah sokongan yang jelas, termasuk daripada 30 Ahli Parlimen Umno.
Khalid dipetik sebagai berkata, perkara itu dizahirkan Anwar ketika beliau mempersembahkan bukti sokongan itu kepada Al-Sultan Abdullah, Selasa lalu. -Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama

