Nurul Huda Abhar
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin terkilan dengan tindakan seorang lelaki yang mengasari anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sewaktu sedang bertugas di Bandar Tun Hussein Onn, pagi tadi.
Zuraida berkata, beliau secara peribadinya kecewa apabila melihat rakaman video berkenaan kerana anggota JBPM merupakan salah satu petugas di barisan hadapan yang bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah.
Katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku ketika pasukan penyelamat itu sedang bertungkus lumus memadam kebakaran dan meminta orang ramai untuk bekerjasama.
“Pengorbanan mereka seharusnya diiktiraf masyarakat. Saya turut menerima maklumat bahawa individu berkenaan berada dalam keadaan khayal dan pemeriksaan keatas kenderaan menjumpai senjata tajam berupa pisau pemotong daging.
“Anggota JBPM yang dipukul oleh individu awam itu sudah membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida berkata, beliau berharap siasatan dapat dijalankan segera dan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang harus diambil tindakan.
“Orang ramai perlu lebih memahami dan menghargai penat lelah anggota JBPM dan tidak bertindak secara melulu sehingga mendatangkan kecederaan pada anggota yang bertugas.
“Masyarakat sepatutnya dalam apa-apa situasi menghormati tugas yang dijalankan anggota bomba, memandangkan sudah terbukti mereka memikul tanggungjawab berat bagi menjaga keselamatan awam dan ketenteraman masyarakat,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 25 saat memaparkan seorang lelaki bertindak kasar terhadap anggota JBPM yang sedang memadam kebakaran sebuah kenderaan yang terlibat dalam satu kemalangan.
Menerusi video itu, lelaki berkenaan dilihat cuba pergi ke kereta tersebut namun dihalang anggota JBPM yang bertugas sebelum dia bertindak memukul anggota berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu dapat dihalang oleh anggota JBPM lain yang turut berada di tempat kejadian. -Malaysiapost

