PAS mahu kukuhkan MN, pertahankan PN – Tuan Ibrahim

0
1

Fitri Nizam

KETIKA Umno mempertimbangkan menarik sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN), PAS pula mahu kerajaan PN dipertahankan dan pada masa mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Justeru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS akan meneliti terlebih dahulu kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung keputusan mesyuarat Biro Politik Umno, malam tadi.

Beliau berkata, PAS yakin segala permasalahan akan dapat diselesaikan melalui proses perundingan.

“MN akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneruskan beberapa agenda yang masih belum diselesaikan.

“Banyak mesyuarat tertangguh kerana Covid-19 dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, malah beberapa pimpinan yang pulang dari Sabah sedang menjalani kuarantin kendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan mesyuarat Biro Politik Umno yang menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan PN jika syarat baharu yang dikemukakan mereka tidak dipertimbangkan.

Tuan Ibrahim berkata, PAS berpendirian bahawa parti itu perlu memperkukuhkan MN dan pada masa sama mempertahankan kerajaan PN. – Malaysiapost