AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kesal dengan cara Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengumumkan keputusan mesyuarat Biro Politik parti itu sedangkan ia belum dimuktamadkan lagi.
Beliau berkata, keputusan mesyuarat itu belum dimuktamadkan oleh parti kerana ia perlu dirujuk kepada mesyuarat MT untuk dibincangkan dan dipersetujui.
“Itu belum lagi keputusan parti, ia perlu dibawa ke mesyuarat MT dan MT boleh jadi setuju ataupun tambah lagi (keputusan biro politik).
“Sebagai ahli MT Umno saya berasa kesal dengan cara SUA kendali keputusan biro politik malam tadi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata, keputusan rasmi parti hanya boleh diumumkan selepas MT Umno mempersetujui hasil mesyuarat Biro Politik.
“Keputusan perbincangan biro politik adalah keputusan biro politik, bukan keputusan parti.
“Ia perlu dibawa ke dalam mesyuarat MT Umno terlebih dulu untuk diputuskan, (bila keputusan dibuat) baru jadi keputusan rasmi.
“Apa yang dia (Ahmad) tak sabar (buat kenyataan media),” katanya.
Mesyuarat biro politik Umno malam tadi antara lain membuat keputusan untuk mempertimbangkan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.
Umno akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Umno juga akan mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya Muafakat Nasional didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah. -Malaysiapost

