Istana Negara batal pertemuan ketua parti kerana Anwar tiada majoriti

0
2

Aiman Hanif

ISTANA Negara membatalkan hasrat untuk memanggil ketua-ketua parti selepas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membuktikan sokongan diperolehinya bagi membentuk kerajaan.

Menurut sumber yang juga pemimpin tertinggi Umno berkata, ini kerana Anwar gagal membuktikan sokongan dimilikinya selain tidak mendapat sokongan daripada Umno.

“Sudah dibatalkan, Istana Negara membatalkan keputusan memanggil ketua-ketua parti kerana Anwar tiada sokongan.

“Umno tidak pernah menyokong Anwar, meskipun kita pertimbang untuk menarik sokongan pada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan yang Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Bagaimanapun, memetik laporan Bernama, Zahid memaklumkan yang jemputan untuk menghadap Agong esok ditangguhkan.

Terdahulu jemputan menghadap kepada ketua parti DAP dan Amanah yang dijadualkan hari ini ditangguhkan Istana Negara.

Istana Negara memanggil menghadap ketua-ketua parti selepas Anwar mendakwa mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

“Anwar gagal membuktikan majoriti yang dimilikinya, sebab itu acara menghadap ketua-ketua parti dibatalkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai spekluasi kehadiran Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh ke Istana Negara semalam, beliau berkata pemimpin veteran itu dipanggil untuk memberikan pandangannya.

Sebagai pemimpin senior Agong mendapatkan pandangan Tengku Razaleigh bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Jelas pemimpin Umno itu, parti itu juga tidak mahu Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung ketika ini kerana rakyat akan marah.

“Kita tidak mahu PRU berlangsung ketika ini kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya lagi- Malaysiapost.