
PERIKATAN Nasional (PN) akan berbincang terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata ia perlu diteliti kerana ada parti dalam PN di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin diperuntukkan kerusi tertentu termasuk Parlimen Batu Sapi.
“PN akan teliti… nanti kita akan buat keputusan kerana di dalam GRS ada kerusi tertentu diserah kepada parti tertentu.
“Kalau Barisan Nasional (BN) tak tanding, ada parti lain (dalam GRS) mungkin akan buat keputusan (bertanding atau tidak),” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada PN akan mengikut jejak BN tidak bertanding pada PRK Batu Sapi yang perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada awal bulan ini.
Sementara itu, Muhyiddin mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini, namun menegaskan proses demokrasi itu tidak dapat dielakkan.
Beliau juga mengakui berlaku kelewatan dalam mengambil tindakan mengekang penularan pandemik itu dari Sabah disebabkan PRN.
“Saya akui ada sedikit kelewatan, tapi kita sudah ambil langkah untuk tangani masalah Covid-19. Saya percaya yang telah lepas itu hakikat tapi disebabkan situasi tertentu yang tak dapat dielak.
“Sebab itu langkah diambil agak lewat… tapi kita cuba kawal kawasan yang perlu, kematian tak meningkat secara luar biasa, masih terkawal dan kita uruskan dengan baik,” katanya. – Malaysiapost
