Cukuplah bersandiwara Anwar, fokus bantu rakyat

0
1
KUALA LUMPUR 09 JULAI 2018. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Nurul Huda Abhar

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghentikan sandiwaranya untuk menggulingkan kerajaan.

Asyraf Wajdi berkata, tembelang Ketua Pembangkang itu telah pecah susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung senarai nama ahli parlimen yang kononnya dikatakan menyokong beliau.

“Habis satu Malaysia bergegar kerana seorang manusia yang beriya-iya nak jadi PM.

“Cukup-cukuplah bersandiwara, fokuslah agenda bantu rakyat yang sedang resah, susah dan gelisah!,”katanya menerusi Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata sesi berkenaan berlangsung selama kira-kira 25 minit.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum itu, Anwar dalam sidang media mendakwa sudah mempersembahkan dokumen sahih mengandungi senarai lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi. -Malaysiapost