PRN Sabah tak sepatutnya diadakan – Tun M

0
1

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya tidak diadakan kerana Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah menang dan tubuhkan kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Warisan terpaksa dibubar susulan cubaan rampasan kuasa menerusi ‘pintu belakang’ menjadi punca PRN tidak dapat dielakkan.

Pemimpin yang sering mengungkapkan ‘Cash is King’ itu berkata, pada PRN itu ‘wang’ mendapat kemenangan kerana ia ‘raja’.

“Tapi kosnya tinggi. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga serangan Covid-19. Dari Sabah berkembang ke Semenanjung.

“Kononnya menteri kebal tak payah kuarantin… malangnya Covid-19 tidak tahu menteri kebal,” katanya di laman blognya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, susulan PRN Sabah diadakan, penularan Covid-19 di negara ini semakin menjadi-jadi sehingga mencatatkan jumlah tertinggi sejak Mac lalu.

“Daripada negeri yang selamat Sabah jadi kluster. Beribu akan jadi mangsa, maut pun ada,” katanya.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang dilaporkan berkata Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang, Dr Mahathir secara sinis mengingatkan jangan memungkiri janji berkenaan.

“Kata pemimpin tertinggi, kalau menang (PRN Sabah), PRU akan diadakan. Jangan mungkir janji. Adakan PRU. Biar ratusan ribu dijangkiti.

“Biar lebih ramai mati. Politik lebih utama dari prinsip. Apa aku peduli,” katanya. – Malaysiapost