PN berterima kasih pada parti komponen, rakan kongsi politik

0
1
KOTA KINABALU, 9 Sept -- Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama (dari kiri) Setiausaha Agong Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor, Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agong PAS Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) mengibarkan bendera Perikatan Nasional pada Majlis Himpunan Perikatan Nasional Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) masih mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada parti komponen serta rakan kongsi politik termasuk Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mewakili PN merakam ucapan terima kasih kepada semua pimpinan tertinggi parti komponen dan rakan kongsi politik.

Ini termasuk BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menzahirkan sokongan padu terhadap pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Beliau berkata, sokongan ini melambangkan semua parti politik yang menyokong kerajaan PN bersama dalam menghadapi situasi Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini sekali gus menolak sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Tatkala penularan wabak Covid-19 ini masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan PN memberi tumpuan penuh menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan BN yang menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin melainkan daripada parti MCA.

Pada masa sama, sebahagian besar pemimpin Umno dan BN sudah menyatakan mereka tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Hamzah berkata, kerajaan PN menyeru semua rakyat untuk terus bersatu hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi bersama mengulangi kejayaan memutuskan rantaian penularan Covid-19. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama