Fitri Nizam
BUKIT Aman membuka satu kertas siasatan terhadap penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Huzir Mohamed, berkata siasatan dibuat susulan laporan polis daripada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 8 Oktober lalu.
Katanya, sebanyak enam laporan polis sudah diterima pihaknya setakat ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Huzir berkata, Presiden PKR itu telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada hari ini jam 11 pagi namun Setiausaha Sulitnya memaklumkan Anwar hanya dapat pada esok jam 9 pagi.
“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangguhkan janji temu tersebut sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai tidak gusar dengan penyebaran berita tersebut dan menasihatkan supaya semua pihak yang berkepentingan tidak menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.
“PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keatas pihak yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih dan mengelirukan orang ramai,” katanya. – Malaysiapost

