Fitri Nizam
UMNO akan dilihat sebagai pengkhianat kepada perjuangan orang Melayu jika bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, langkah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mutakhir ini adalah satu strategi politik licik untuk menyelamatkan PKR dan DAP daripada ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Berpura-pura nak membentuk kerajaan Melayu-Islam versi Anwar, beliau mengharapkan PKR menguasai semula tapak di kawasan majoriti Melayu.
“Sementara rakan mereka iaitu DAP telah menguasai kawasan pengundi Cina. Dengan cara itu gerakan sosialis ini dapat bertapak kembali,” katanya di Facebook, malam tadi.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, jika Umno, PAS atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan Anwar, mereka akan dianggap seperti bersekongkol dengan DAP.
Katanya, ia kan menyebabkan parti-parti teras berkenaan berjaya dilemahkan.
“Bagi Umno, ia bukan saja bercanggah dengan keputusan parti, malah bakal dilihat oleh orang Melayu sebagai satu pengkhianatan kepada perjuangan.
“Tidak mustahil jika dibiarkan demikian, dalam Umno juga bakal berpecah dan menjadi lemah serta bakal ditolak pengundi khususnya oleh orang Melayu.. Berjayalah strategi DAP,” katanya.
Justeru, beliau mengajak Umno untuk kembali pada asas mereka seperti yang tertera dalam perlembagaan parti.
“Ia jelas dalam piagam Muafakat Nasional, perjuangan membela kepentingan agama Islam, hak orang Melayu dan Bumiputera tanpa menafikan kebebasan beragama dan hak kaum lain,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menegaskan bahawa sebarang usaha menganggu kestabilan, mendorong perpecahan dan berpaksikan kemaruk kuasa untuk individu perlu ditolak dengan tegas.
“Maka bagi kita tetaplah ‘No DAP’… ‘NO DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan tiada kompromi atau apa pun!,” tegasnya. – Malaysiapost

