GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) rela menjadi pembangkang daripada menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, partinya berpendirian bahawa sebagai rakan seangkatan kepada Perikatan Nasional (PN), GPS menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Alexander berkata, dakwaan bahawa wakil rakyat GPS menyokong Anwar hanyalah khabar angin.
Memetik laporan Sin Chew Daily, Ahli Parlimen Kapit memberitahu beliau hanya mengetahui desas-desus itu melalui media.
Ditanya mengenai Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan yang diterima, Alexander berkata, ia merupakan berita baik untuk ketua pembangkang tersebut.
Mengenai kemungkinan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak pula, Alexander berkata, ia bergantung kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak.
GPS pada ketika ini mempunyai 18 wakil rakyat dengan 13 daripadanya adalah daripada Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Baki lima kerusi Parlimen GPS adalah disandang wakil daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sebelum ini, pemimpin utama SUPP, PRS dan PDP termasuk Datuk Seri Richard Riot Jaem, Tan Sri James Masing dan Datuk Seri Tiong King Sing telah menafikan sokongan kepada Anwar. -Malaysiapost

