Henti permainkan Institusi Diraja – Armada

0
1

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional menyeru semua pihak berhenti mempermainkan Institusi Diraja demi kepentingan peribadi.

Ia berikutan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai bilangan sokongan yang cukup dalam kalangan Ahli Parlimen bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, Armada mengecam tindakan pihak yang mengutamakan kepentingan politik peribadi dari kemaslahatan umum dalam mengheret Institusi Diraja untuk terpalit secara berulang dalam kancah perebutan kuasa.

“Sedangkan rakyat telah menyaksi dan merasa peritnya mainan perebutan kuasa ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Beliau berkata, Armada Nasional berasa hairan adakah tiada keinsafan dalam diri pemimpin nombor satu PKR itu yang menjadi punca atau penyebab kejatuhan kerajaan terdahulu.

“Kerana keghairahan politik (Anwar) untuk berada pada tampuk pemerintahan kuasa sehingga tindakan drastik diambil demi menjaga kemaslahatan rakyat dari sibuk berpolitik dan menggugat pentadbiran selama 22 bulan, sedangkan apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan.

“Adakah beliau tidak menilai kesan yang telah menghimpit rakyat atas apa yang berlaku di Sabah setelah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga menyaksikan jumlah Covid-19 naik mendadak,” katanya.

Menurutnya, ternyata itu bukan masa yang sesuai, melainkan Anwar begitu pentingkan diri dengan mengambil kesempatan dalam kesempitan.

“Di samping sanggup mempergunakan serta mengheret Institusi Diraja serta Istana Negara untuk menjatuhkan sebuah kerajaan (Perikatan Nasional) yang secara jelas diiktiraf bawah naungan Yang di-Petuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu secara perlembagaan melalui Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan Anwar jelas mendesak istana meskipun atas kuasa baginda secara perlembagaan dan seakan mahu ‘tunjuk ajar’ hanya demi kepentingan peribadi.

“Perlu diingatkan, lahirnya PN setelah jatuhnya kerajaan sebelum ini, bukan ‘plot’ menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah naungan YDPA yang sedang dalam pentadbiran sepertimana digerakkan Anwar.

“Ini adalah suatu hal yang keji dan wajar dikecam kerana ianya mampu mengheret kepada pembubaran parlimen dari sudut amalan demokrasi, sedang rakyat seluruh negara tidak bersedia dalam keadaan wabak.

“Ditambah akan merosakkan lagi perkembangan ekonomi, sedang agenda pemulihan ekonomi dan sosial yang baik telahpun dirangka melalui Muhyiddin, malah banyak yang telah dilaksana menerusi inisiatif PRIHATIN, PENJANA dan JENDELA,” katanya.

Beliau berkata, rakyat telah menyaksikan sendiri bagaimana reaksi pasaran dan kesan ke atas ekonomi sejak Anwar menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri.

Oleh itu, Armada Nasional menyeru sokongan teguh masyarakat dalam pada menilai usaha PN di bawah Muhyiddin selama ini yang begitu bertekad dan berbakti demi rakyat.

“Sebegitu terus berdoa agar negara dilindungi dan mendesak supaya seluruh pemimpin politik mampu membulatkan usaha dan menggembleng tenaga untuk memastikan Malaysia mampu keluar dari masalah pandemik dan bangkit secara bersama dalam menggerakkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.

Katanya, Armada Nasional juga akan terus memainkan peranan membantu parti Bersatu dan juga kerajaan PN dalam menjalankan kerja kemasyarakatan pada waktu sukar ini.

“Dalam isu Anwar, Armada Nasional akan terus meneliti perkembangan itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambahnya, Armada Nasional menyokong penuh tindakan beberapa pemimpin yang telah membuat laporan polis terhadap Anwar dan berharap tindakan tegas diambil sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan itu, memandangkan ini bukan kali pertama beliau mengada-adakan dakwaan sokongan majoriti seperti yang diperkatakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Armada Nasional turut mengecam pimpinan politik yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan diri mereka.

“Ini bukan soal kepentingan peribadi mahupun parti, namun demi membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dalam mencapai tekad ‘good governance’.

“Armada dan Bersatu akur dengan kebijaksanaan YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu sepertimana perkenan baginda atas kuasa mutlak melantik Perdana Menteri menerusi Perlembagaan Persekutuan yang telah menubuhkan kerajaan PN dan kelancaran penubuhan kerajaan sebelumnya,” katanya. -Malaysiapost