Elak cecah Rt 2.2 – Dr Noor Hisham

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan berusaha memastikan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) tidak mencecah 2.2, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ini berikutan kemudahan kesihatan mungkin tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 sekiranya Rt mencecah paras itu.

Menurut beliau, nilai Rt ketika ini berada pada kadar 1.3 dan ia berjaya dilandaikan iaitu daripada 2.3 semasa permulaan gelombang ketiga pandemik itu melanda negara ini.

Justeru, katanya, dengan segala tindakan kawalan kesihatan awam di lapangan, KKM berharap kes dapat menurunkan Rt kepada 0.3 pada 31 Oktober ini, sekali gus berjaya melandaikan lengkuk.

“Tetapi, kalau keadaan sekarang ini 1.3 Rt berjalan, kita akan lihat peningkatan kes secara perlahan sehingga 31 Oktober ini. Apa yang cuba kita elakkan ialah R-naught meningkat kepada 2.2.

“Jika itu terjadi, mungkin fasiliti KKM, hospital dan juga pusat kuarantin tidak mampu menampung pesakit yang akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus meningkatkan usaha dari segi aktiviti kesihatan awam termasuk pengawasan, pengesanan kontak, ujian menggunakan RTK-Antigen dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RTPCR), pengasingan kes serta rawatan di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah, selain kes di hospital.

“Selain itu, langkah kerajaan dalam mempergiatkan kawalan sempadan, kawalan merentas daerah, aktiviti pengesanan kontak rapat serta kes positif turut dapat mengelak mengawal nilai Rt. -Malaysiapost