Nilam Oshman
LIMA lagi kluster baharu dikesan hari ini, iaitu tiga kluster di Sabah, manakala masing-masing satu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau memaklumkan, tiga kluster di Sabah itu dikenali sebagai Kluster Kasih, Surat dan Khazanah.
Katanya, Kluster Kasih dikenal pasti di daerah Lahad Datu, Sabah iaitu kes indeks bagi kluster itu dikesan positif Covid-19 pada 27 September lalu, di mana sejumlah 1,838 individu telah disaring, hasilnya 34 kes positif, tiada individu negatif dan 1,804 individu masih menunggu keputusan.
“Bagi Kluster Surat pula melibatkan daerah Sandakan iaitu kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala.
“Sejumlah 74 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif, tiada individu negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan.
“Kluster Khanazah juga melibatkan daerah Lahad Datu iaitu kes indeks dikesan positif Covid-19 pada 9 Oktober lalu. Seramai 652 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif, tiada individu negatif dan 638 individu masih menunggu keputusan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Sungai Way melibatkan daerah Petaling dan Gombak, Selangor dan daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober lalu. Sejumlah 149 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif, 124 individu negatif; dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.
Bagi Kluster Bah Bundle, beliau berkata, Kluster baharu ini melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah pada 2 Oktober lalu.
Seramai 430 individu telah disaring, di mana tiga kes dikesan positif, 131 individu negatif dan 296 individu masih menunggu keputusan.
Sementara itu, sebanyak 561 kes positif Covid-19 dikesan hari ini, dengan Sabah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 488 kes, diikuti Selangor (26) dan Kedah (16).
Selain itu, dua pertambahan kes kematian direkodkan hari ini menjadikan 157 kes serta terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost

