Covid-19: 298 sekolah daerah Petaling ditutup – KPM

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan, sebanyak 298 sekolah ditutup di kawasan zon merah daerah Petaling bermula esok sehingga 25 Oktober ini.

Menurut kenyataan KPM, penutupan itu dibuat selepas mengambil perhatian berhubung peningkatan kes Covid-19 di daerah tersebut.

Katanya, bilangan itu merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian berkenaan.

“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup,” katanya.

Oleh itu, KPM meminta Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah jagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, sepanjang tempoh penutupan sekolah, pengetua atau guru besar akan memastikan pengajaran dan pembelajaran di rumah dilaksanakan mengikut kesesuaian guru serta murid.

Selain itu, bagi kebanyakan sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terbabit penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ke suatu tarikh bersesuaian kelak.

KPM sentiasa memantau situasi selain bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaPost