JAS sita tapak haram sisa toksik di Melaka

0
1

JABATAN Alam Sekitar (JAS) menemui lebih 900 tong dram, enam tangki ‘intermediate bulk containers’, tujuh tong tercemar dan lima tangki disyaki mengandungi enap cemar minyak di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka, kelmarin.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata susulan penemuan itu, tapak haram yang terbabit dalam kegiatan pembuangan susa toksik dan bahan berbahaya itu disita.

“JAS akan mencari cap jari untuk pengumpulan bahan bukti dan mengesan pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

“Pasukan siasatan JAS Melaka menjalankan persampelan daripada bahan buangan itu yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, dalam masa terdekat.

“Ia untuk dianalisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi bersepadu itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA).

Sementara itu, Norlin berkata, pihaknya menggunakan dron bagi memantau keadaan terkini di lokasi kejadian dari semasa ke semasa.

“Pihak premis berkaitan juga diarahkan menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan disyaki buangan terjadual selepas siasatan selesai mengikut Seksyen 31(1)(g) dan 37(1)(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B AKAS 1974iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara mandatori dan denda maksimum RM500,000,” katanya.

Norlin memberi amaran keras kepada semua pihak terutama pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan berbahaya, selain mematuhi undang-undang ditetapkan.

“JAS tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan tindakan penguatkuasaan JAS akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Kami turut ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas maklumat yang diberi oleh orang awam membabitkan kes ini,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] serta melayari portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.-Malaysiapost