Beri peluang Dr Aliakbar berkhidmat

0
2

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meminta semua pihak tidak mengira parti bersatu dan memainkan peranan dalam membina kerajaan Sabah yang baharu.

Takiyuddin berkata, PAS berbesar hati dengan sikap terbuka Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) kerana sedia memberi peluang kepada Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkhidmat kepada rakyat setelah dilantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Katanya, PAS amat yakin Dr Aliakbar yang juga anak jati Sabah, berkelulusan tinggi serta berpengalaman luas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah mampu menyumbang tenaga dan buah fikirannya mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“PAS berpandangan tugas utama kerajaan GRS sekarang adalah mengembalikan keyakinan rakyat kepada usaha memulihkan keadaan termasuk menguruskan penularan semula Covid-19 serta memulihkan ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, PAS percaya sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab dan komited kepada pembinaan negara yang harmoni, maju dan bersatu padu, semua pihak perlu meneroka jalan damai.

Selain itu, katanya, semua pihak perlu saling menerima serta hormat menghormati di antara satu sama lain tidak mengira pihak yang tergolong dari pelbagai kaum, etnik, agama, budaya dan adat resam di Sabah.

Dr Aliakbar adalah wakil PAS yang diberikan kepercayaan oleh GRS untuk menjadi antara enam Adun Dilantik di Sabah.

Pelantikan beliau menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak, antara lain kerana PAS didakwa tidak sesuai dengan situasi politik di Sabah serta rakyatnya yang berbilang kaum. – Malaysiapost