Ahmad Nazlan lapor polis terhadap Anwar Ibrahim

0
2

AHLI Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris buat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berikutan Anwar didakwa menyenaraikan nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahmad Nazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) membuat laporan di Balai Polis Jerantut pada jam 5 petang tadi.

Katanya, dakwaan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa dengannya bagi membincangkan perkara itu.

Beliau turut menafikan pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.

“Jika dia mendakwa saya menyokong beliau, itu satu pembohongan besar. Saya berdiri teguh dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan berpaling tadah,” katanya.

Ahmad Nazlan mengulas penyebaran senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong Anwar membentuk kerajaan baharu termasuk beliau dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

Penyebaran senarai nama tersebut telah menyebabkan timbul spekulasi dan tafsiran negatif ahli Umno terhadap dirinya.

Anwar dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa ini.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan menyokong Anwar. – Malaysiapost