SPRM ada senarai selebriti terima dana ‘cuci’ wang

0
2
Berita Harian copyright

Fitri Nizam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai senarai individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan yang menerima dana daripada aktiviti ‘mencuci’ wang sindiket Macau Scam.

Justeru, individu terbabit diberi pilihan sama ada tampil secara sukarela untuk membantu siasatan atau dipanggil SPRM.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya ada maklumat berkaitan individu yang menerima wang daripada sindiket tersebut dan tindakan selanjutnya akan diambil.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa (selebriti) yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya.

“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana sindiket), sila datang kepada SPRM… jika kita panggil sudah tentu ia tidak berapa cantik. Datang pada kita dan kita akan layan dengan baik.

“Kita sudah ada senarai… namun kita tidak mahu menggunakan ayat menyerah diri, tetapi mahu guna ayat yang paling lembut iaitu tampil kepada kita,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm.

Mengulas berkaitan hal siasatan, Azam berkata setakat ini seramai 11 warga tempatan dan seorang rakyat China ditahan.

Selain itu beliau berkata, lapan pegawai kerajaan daripada satu agensi yang tidak dinamakannya turut ditahan untuk siasatan.

“Pegawai kerajaan yang ditahan ini disyaki terlibat dan memberi perlindungan kepada suspek yang terbabit dalam isu Macau Scam ini.

“Selain itu, 730 akaun membabitkan jumlah RM80 juta dibekukan dan merampas wang tunai lebih kurang RM5 juta serta 23 buah kenderaan mewah pelbagai jenama turut disita,” katanya.

Sebelum ini, terdapat pasangan selebriti dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes pengubahan wang haram.

Difahamkan, pihak sindiket menggunakan nama beberapa artis dan perniagaan mereka untuk menjalankan aktiviti “cuci duit” bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Susulan itu beberapa individu lain termasuk anggota polis turut ditahan bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian