Setiausaha PAS Sabah dalam Kabinet baharu Hajiji

0
2

SETIAUSAHA PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan adalah antara yang disenaraikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di Sabah.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Muhtar Suhaili, turut mengucapkan tahniah kepada Dr Aliakbar, menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Dr Aliakbar menerima Watikah daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Kota Kinabalu, pagi ini.

Muhtar juga memperkenalkan Dr Aliakbar yang berusia 49 tahun dan berasal dari Tenom diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah.

“Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas Pusat pada sesi 2015 hingga 2017.

“Berkelulusan Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Kepujian) (B.A Hons) dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar serta peringkat doktor falsafah (PhD) Geografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” tulisnya hari ini.

Beliau berkata, Dr Aliakbar adalah mantan Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu, katanya, Dr Aliakbar diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

“Saya kenali beliau sebagai seorang yang tenang dan sangat tersusun dalam bekerja.

“Beliau banyak berperanan menggerakkan PAS Sabah selain bersama-sama PAS Sarawak merencana agenda siyasah (politik), dakwah dan tarbiyah di Borneo,” katanya lagi.

Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan memberikan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kepada PAS.

PBS turut menyatakan tidak ada asas bagi kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menimbangkan perkara itu.

Terdahulu, majlis angkat sumpah jawatan menteri, pembantu menteri dan ADUN Sabah berlangsung di Istana Negeri, pagi ini.

Seramai 30 individu mengangkat sumpah di hadapan Tun Juhar pada majlis yang berlangsung jam 10 pagi tadi. -Malaysiapost