Situasi di Penjara Reman terkawal – KM Pulau Pinang

0
2

Fitri Nizam

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa keadaan di Penjara Reman masih terkawal susulan tindakan pantas semua pihak mengawal penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya turut menjadikan pengalaman di negeri lain sebagai panduan untuk menangani wabak terbabit di penjara berkenaan.

Katanya, Jabatan Penjara Negeri sudah pun menulis surat kepada mahkamah untuk menangguhkan kes perbicaraan dan reman sehingga diberitahu kelak.

“Semua banduan akan menjalani saringan dengan keutamaan diberikan kepada kontak rapat. Saringan turut dijalankan terhadap kakitangan Jabatan Penjara.

“Selain itu, semua pihak berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam tempoh 24 jam setiap hari, “ katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan taklimat khas berhubung situasi terkini dalam Penjara Reman Pulau Pinang, pada Majlis Mesyuarat Negeri.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat satu kluster baharu di Penjara Reman Pulau Pinang apabila seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia sebelum disahkan positif Covid-19.

Saringan kontak rapat yang dilakukan mendapati seramai enam lagi kes positif dikenal pasti membabitkan penghuni di penjara berkenaan. -Malaysiapost

Foto Kredit: Awani