Mohon lanjutan reman menerusi sidang video

0
2
shutterstock copyright

LANJUTAN reman bagi kes membabitkan Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) diberi kelonggaran dengan dijalankan melalui kaedah sidang video.

Kaedah itu dipersetujui Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mempertimbangkan situasi semasa di sesetengah penjara yang berhadapan ancamam Covid-19.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, berkata ia berupaya dilaksana sekiranya wujud permohonan pihak penjara dan situasi semasa tidak mewajarkan pelanjutan reman secara bersemuka.

“Berikutan kes penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat, ada permohonan daripada penjara supaya pelanjutan reman mengikut Seksyen 259 Akta 593 tidak dibuat di sesetengah penjara.

“Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersetuju dan mengarahkan kes pelanjutan reman mengikut Seksyen 259 Akta 593 boleh dijalankan melalui kaedah sidang video,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sepanjang prosiding secara sidang video, Pejabat Ketua Pendaftar memberi jaminan hak orang kena tuduh (OKT) akan sentiasa terpelihara dan prosiding dijalankan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Katanya, pengendalian kes pelanjutan reman secara sidang video diharap berupaya memastikan capaian kepada keadilan dan kesinambungan pentadbiran kehakiman, meskipun keadaan semasa pandemik Covid-19 semakin menular dan meningkat di Malaysia. -Malaysiapost

Foto Kredit: Shutterstock