Fitri Nizam
SIASATAN kes rasuah membabitkan anggota penguatkuasa yang dipercayai melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh, kini pada peringkat terakhir.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, berkata kertas siasatan berhubung isi terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.
“Kita siasat kes itu dan ramai ditangkap. Siasatan kini berada di peringkat terakhir.
“Tunggu sikit lagi di mana kita akan bawa perkara ini kepada Timbalan Pendakwa Raya yang akan meneliti keputusan seterusnya, ada yang mungkin dituduh,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot ‘SPRM 360’ di MACCfm, hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, Mohd Asri Hamid atau dikenali Asri Janggut menggemparkan negara selepas memuat naik dua video siaran langsung, mendedahkan kewujudan premis perjudian dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh yang beroperasi tanpa sebarang tindakan.
Susulan itu, 10 individu ditahan SPRM termasuk pengarah penguatkuasa dan sembilan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Media sebelum ini melaporkan pegawai terbabit disyaki menerima rasuah antara RM300 dan RM3,500 secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar kawasan itu. – Malaysiapost

