KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, jam 1 tengah hari tadi.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kuang, Gombak.
Berita kematiannya turut dikongsi Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyampaikan ucapan takziah menerusi Facebooknya sebentar tadi.
Semalam, Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM dalam kenyataan memberitahu, Paimuzi bebas daripada Covid-19.
Menurut kenyataan itu, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada Selasa lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.
“Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan,” menurut kenyataan itu semalam.
Allahyarham dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (1985) dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.
Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada 1986 sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berpengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam dan memegang beberapa portfolio penting sepanjang kerjayanya.
Antara jawatan penting pernah disandang beliau ialah Pengarah di beberapa bahagian di JAKIM iaitu Pengarah JAKIM Sabah pada 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (2008), Pengarah Darul Quran (2010) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (2013).
Pada 5 Oktober 2016, beliau dilantik Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM dan pada 1 Mei 2017 dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada 1 April 2018, beliau sekali lagi dilantik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM sehingga 26 Disember 2019 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM – Malaysiapost

