SEORANG pelajar lelaki tingkatan tiga di sebuah sekolah agama persendirian, Tok Keling, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, patah rahang selepas ditendang pelajar lain di dewan makan sekolah berkenaan pada 4 Oktober lalu.
Berikutan kejadian itu, mangsa, Muhamad Shukur Mohamad Sobri, 15, mengalami bengkak di kiri muka selain rahangnya patah dan trauma dengan kejadian itu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam itu ketika dia bersama adik lelakinya, Muhamad Fitri, 13, pergi ke dewan makan untuk mengambil makanan.
Katanya, ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba seorang pelajar datang ke arahnya lalu menendang dengan kuat menyebabkan terkena pipi kirinya.
“Selepas ditendang, dia terasa bengang di telinga dan sebaik mengangkat kepala mulutnya berdarah dan rahangnya terasa sakit,” katanya.
Adik mangsa, Muhamad Fitri yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia dan abangnya mahu merahsiakan kejadian itu kepada keluarga tetapi kakaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada bapa mereka selepas mengesyaki pipi abangnya bengkak.
“Saya melihat sendiri pelajar itu menendang abangnya hingga mulutnya berdarah dan membawa abangnya ke sinki untuk membersihkan darah itu.
“Selepas ditendang, kelihatan banyak darah berlumuran di tangga asrama, sehinggalah ke longkang belakang sekolah,” jelas adik mangsa.
Bapa mangsa, Mohamad Sobri Abdul Manaf, 46, pula berkata, ia bukan kali pertama anaknya diperlakukan seperti itu kerana sebelum ini dia pernah dipukul cuma tidak cedera.
Katanya, dia kesal kerana pihak sekolah menghubunginya dan memaklumkan anaknya jatuh tangga menyebabkan cedera di rahang mulut.
“Ini bukan kali pertama, ini sudah termasuk dua kali.
“Saya rasa lebih baik perkara macam ni saya serah kepada pihak kerajaan atau polis, supaya jadi pengajaran dan iktibar di hari akan datang,” jelas bapa kepada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, setakat ini satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini. – Malaysiapost

