PRK Batu Sapi: Pemuda Umno cadang BN, PN tak letak calon

0
1

PEMUDA Umno akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti itu dan Barisan Nasional (BN) agar tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia mengambil kira kegawatan penularan Covid-19 yang semakin meluas di Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat.

“Cadangan sama juga disyorkan kepada parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi mengekalkan status quo kedudukan Parlimen Batu Sapi di bawah Parti Warisan, menjelang PRK yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Fokus ketika ini harus diberi untuk membendung Covid-19 daripada terus menular, di samping membantu rakyat menangani yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik.

“Pemuda Umno percaya sudah tiba masanya untuk ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengenepikan perbezaan dan persengketaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.

Terdahulu hari ini, Penasihat DAP, menyokong cadangan supaya semua parti politik tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi dan memberi laluan kepada calon Warisan untuk menang tanpa bertanding. – Malaysiapost