Guna hadis, Rihanna mohon maaf

0
1

PENYANYI Hollywood, Rihanna membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menggunakan hadis dalam lagu pertunjukkan fesyen pakaian dalam jenama Savage x Fenty, baru-baru ini.

Tindakan Rihanna tersebut mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam di seluruh dunia yang dilihat seperti sengaja ingin menimbulkan perbalahan sesama peminatnya.

Penyanyi lagu ‘Take a Bow’ itu menerusi hantaran status di laman sosial Instagram mengakui kecuaian yang berlaku datang daripada pihaknya.

Selain menjelaskan tidak mempunyai niat untuk merendahkan mana-mana agama, terutamanya Islam.

“Saya berterima kasih kepada komuniti Muslim yang menegur kesilapan tidak sengaja ketika pertunjukan fesyen Savage x Fenty Beauty.

“Seikhlas hati saya ingin memohon maaf atas kecuaian ini. Kami faham kami telah menyinggung saudara Muslim dan saya sangat kecewa atas apa yang berlaku.

“Saya sentiasa menghormati agama lain jadi, penggunaan lagu terbabit dalam projek kami sangat tidak bertanggungjawab!” tulisnya semalam.

Rihanna, 32, juga memberitahu akan memastikan kejadian seumpama itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

“Kami akan pastinya insiden sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Terima kasih kerana memahami,” katanya.

Baru-baru ini, Rihanna dikecam hebat setelah menggunakan lagu remix berjudul Doom ciptaan seorang penyanyi wanita yang mengambil contoh satu hadis berkisar tentang hari kiamat.

Video tersebut telah digunakan dalam pertunjukkan pakaian dalam jenama milik Rihanna. -Malaysiapost